iklan responsive
Apabila seorang suami telah mengucapkan taklik cerai dan telah berlaku apabila isteri melanggarnya maka jatuh talak satu. Semasa iddah suami boleh merujuk semula isterinya dengan syarat-syarat berikut : Tatacara rujuk menurut pendapat yang rajih bagi kami, adalah hanya sah dengan ucapan (bil-kalam), tak sah dengan jima’ (bil-fi’li). Imam Syafi’i berkata, ”Adalah jelas bahawa rujuk hanya dengan ucapan, bukan dengan perbuatan seperti jima’ dan yang lainnya.” (Imam Syafi’i, Al-Umm, 5/1950).
Rujuk dengan ucapan, misalnya suami berkata kepada isterinya,”Saya rujuk lagi kepadamu.” (Taqiyuddin Al-Husaini, ibid., 2/108).
Disyaratkan ada dua orang saksi laki-laki, sehingga tak sah rujuk tanpa dua saksi yang mempersaksikan rujuk. (Taqiyuddin An-Nabhani, ibid., hal. 115). Dalilnya firman Allah SWT yang bermaksud,,”Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu.” (TQS Ath-Thalaq: 2).
Ayat ini menunjukkan wajibnya dua saksi dalam rujuk. Ini salah satu pendapat mazhab Syafi’i. (Imam Syairazi, Al-Muhadzdzab, 2/103; Ibnu Rusyd, Bidayatul Mujtahid, 2/68).
Kesimpulannya, selama masih dalam masa iddah, suami berhak merujuk isterinya tanpa akad nikah ulang dan mahar baru. Caranya hanya dengan ucapan dan wajib dipersaksikan dengan dua orang saksi laki-laki yang adil.
Dalam mazhab Syafie 2 orang saksi ketika rujuk adalah perlu dan tak sah rujuk melainkan dengan 2 saksi. Berdasarkan Seksyen 51 (8) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pasangan yang ingin meruju'.
Pertamanya : suami hendaklah melafazkan niat untuk meruju' bekas isterinya.
Kedua : bekas isteri perlu memberikan persetujuannya ke atas ruju' tersebut.
Setelah itu, suami dikehendaki menghantar permohonan ke mahkamah syariah untuk mendaftarkan ruju'.
Setelah itu, mahkamah akan mengeluarkan perintah supaya pasangan yang telah bercerai tadi hidup semula sebagai suami isteri. Setelah proses ruju' itu lengkap barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya.
Namun apapun, pihak Jabatan Agama Islam kelihatan membuat keputusan dan ijtihad apabila MEWAJIBKAN REDHA ISTERI. Anjuran mazhab Syafie hanyalah menggalakkan sahaja dan tidak wajib: -
والجديد أنه لا يشترط لصحة الرجعة ( الإشهاد ) عليها بناء على الأصح أنها في حكم الاستدامة, ثم لم يحتج لولي ولا لرضاها بل يندب
Ertinya : Pandangan mazhab baru Syafie, tidak disyaratkan wujud saksi untuk sahnya ruju', kemudian, (ruju') juga tidak memerlukan kepada (persetujuan) wali dan juga persetujuan wanita (isteri), cuma ia digalakkan sahaja. ( Nihayatul Muhtaj, 1/59 )
BOLEHKAH RUJU' TANPA MELAFAZ?
Tidak terdapat khilaf bahawa rujuk yang dibuat secara berlafaz yang terang oleh suami di hadapan saksi adalah sah. Demikian juga secara bertulis.
Ulama mazhab berbeza fatwa dalam hal ini seperti berikut :-
Hanafi : Sah ruju' sama ada dengan persetubuhan atau permulaan persetubuhan seperti sentuhan bersyahwat, ciuman, melihat kemaluan isteri dan lain-lain. Pandangan ini turut disebut oleh ramai ulama tabien seperti Sa'ad Ibn Musayyab, Hasan Al-Basri, Ibn Sirin, Ato' Abi Rabah, Al-Awzai'e, Sufyan At-Thawry, As-Sya'biy dan lain-lain.
Maliki : Sah ruju' dengan persetubuhan dengan syarat si suami ada niat ruju' semasa persetubuhan itu berlaku. Namun ciuman, sentuhan dan lain-lain dengan syahwat sahaja tidak cukup untuk dianggap ruju'.
Syafie : Mazhab Syafie menolak ruju' melalui perlakuan tanpa lafaz secara total, sama ada persetubuhan, mahupun permulaannya sebagaimana pandangan Hanafi tadi. Mazhab Syafie berfatwa sebarang persetubuhan pada waktu ‘iddah tanpa lafaz ruju' yang jelas terlebih dahulu adalah haram.
Imam As-Syafie berkata :-
والرد يكون بالكلام دون الفعل من جماع وغيره ; لأنه رد بلا كلام، فلا تثبت رجعة لرجل على امرأته حتى يتكلم بالرجعة، كما لا يكون نكاح ولا طلاق حتى يتكلم بهما، فإذا تكلم بها في العدة ثبتت له الرجعة
Ertinya : Ruju mestilah dengan percakapan ( lafaz) dan bukannya dengan jima' dan lainnya, kerana tiada ruju' tanpa lafaz, maka tidak sah ruju' bagi seorang lelaki kepada wanita sehinggalah dia melafazkannya, sebagaimana tiada nikah dan talaq yang dibuat tanpa lafaz, maka jika si lelaki melafazkannya (ruju') semasa iddah barulah sah ruju'nya" (Al-Umm)
Hanbali : Sah ruju' dengan persetubuhan namun tidak sah ruju' hanya dengan permulaan persetubuhan. Samada ia dilakukan dengan niat ruju' atau tidak.
Kesimpulan : Apapun pendapat pelbagai mazhab, sebagaimana yang telah di dedahkan di atas, Malaysia mengambil mazhab Syafie yang mensyaratkan suami MESTI melafazkan ruju' terlebih dahulu secara rasmi. Ia wajar dituruti.
AURAT ISTERI DEPAN SUAMI SEMASA IDDAH
Benar, wajib secara sepakat seluruh ulama si isteri untuk tidak keluar dari rumah suami semasa iddah dalam penceraian raj'ie (normal boleh ruju') kali pertama dan kedua.
Si suami juga haram untuk menghalau isteri keluar dalam tempoh itu, malah suami masih wajib berikan belanja zahir kepada isteri di waktu ‘iddah. ( Tafsir Al-Jassas, 5/348 : Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 18/154 )
Namun, timbul persoalan jika isteri duduk di rumah suaminya, bagaimana dengan hal auratnya?
Jawapannya mudah, menurut mazhab Syafie, isteri wajib menutup auratnya di dalam rumah itu.
Namun menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tiada aurat yang perlu ditutup di depan suaminya sepanjang tempoh iddah, kerana mereka masih dikira isteri dan akan automatik ruju' dengan persetubuhan.
RUJU' DALAM KES TEBUS TALAQ
Adapun tebus talaq ataupun khulu', penceraian itu yang dilakukan atas dasar ini tidak mempunyai peruntukan ruju', sama ada ia dianggap sebagai Fasakh atau Talaq (berdasarkan perbezaan ijtihad ulama).
Namun majoriti ulama silam dan kontemporoari menyebutkan tiada rujuk bagi kes tebus talaq. Malah Imam As-Syawkani menyebut telah terdapat Ijma' (perspekatan penuh) seluruh ulama bahawa tidak ruju' bagi kes tebus talaq. Ini adalah kerana Talaq itu jatuh dalam kategori Talaq Bain dan bukan Talaq Raj'ie (yang boleh diruju'). (Nailul Awtar ; Mawsu'ah Al-Kuwaitiyah)
Cuma bezanya kali ini, wanita ada hak untuk terima jika si bekas suami tadi ingin ruju' juga dalam kes tebus talaq. Ertinya, peruntukan asalnya suami tidak boleh ruju' seperti kes talaq biasa, namun dalam kes tebus talaq, lelaki hilang haknya untuk ruju' tanpa redha isteri. (Kasyyaf Al-Qina', Al-Bahuti)
PERLUKAH RUJU' KEPADA SAKSI?
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, Imam Syafie dalam satu fatwanya menyatakan penyaksian dalam bab ruju' adalah wajib. Berdasarkan dalil firman Allah s.w.t :
فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ
Ertinya : Apabila mereka telah mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik.. ( At-Talaq : 2 )
Namun pendapat Abu Bakar r.a, Imam Malik dan Abu Hanifah, saksi tidak wajib kerana ia langsung tidak memerlukan persetujuan dari pihak lain. Justeru, saksi hanyalah digalakkan sahaja namun ia tidaklah wajib.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu menuruti undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di Malaysia, iaitu setiap rujuk mesti ada saksi dan dibuat secara rasmi.
Ia baik bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan fitnah serta mengambil jalan yang lebih cermat. Justeru, sebarang penyaksian ruju' boleh dilakukan di mahkamah Shariah.
Pandangan ini juga bertepatan dengan mazhab Syafie yang menyebut :-
مذهبنا أن الإشهاد على عقد البيع والإجارة وسائر العقود غير النكاح والرجعة مستحب , وليس بواجب
Ertinya : Mahzab kami, sesungguhnya saksi dalam aqad jual beli, ijarah dan seluruh aqad selain aqad nikah dan ruju' adalah digalakkan sahaja, tidak wajib. ( Al-Majmu', An-Nawawi, 1/170)
ikalan saiz 250
JOM DERMA IKHLAS KE :
loading...
0 Response to "Lafaz Taklik..telah berlaku..dan rujuk semula dalam masa iddah.."
Post a Comment